Autumn Gathering (Dansei)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengetahui.
Segala puji dan puja bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w utusan Allah yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan yang benar, jalan menuju keredhaan Allah s.w.t.
Alhamdulillah atas segala nikmat dan pertolongan Allah jua, Perhimpunan Musim Luruh (Autumn Gathering) 21-23 November 2009 usai kita tamatkan dengan jayanya. Bertempat di Biwa-lake Seishounen No iE Osaka, seramai 53 orang peserta telah hadir bersama-sama untuk berhimpun merapatkan ukhuwah insaniah dan saling berkenalan dengan peserta-peserta baru. Program perhimpuan musim luruh ini merupakan perhimpunan yang julung kali diadakan di kawasan Kansai. Kebanyakan peserta yang hadir adalah dari sekitar kawasan Kansai dan selebihnya dari kawasan Nishi Nihon dan Kantou.
Program dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program merangkap wakil AMIR, saudara Mohamad Fani bin Sulaima, sejurus itu bermulalah program dengan pelbagai aktiviti yang dimulai dengan “ice breaking” yang menjunjung harapan agar para peserta saling mengenali antara satu sama lain. Menerusi acara utama yang berkonsepkan “Explorace”, pelbagai aktiviti telah diselitkan terutama pada hari kedua program berlansung. Kemuncaknya, program “Explorace” di akhiri dengan setiap kumpulan menyusun “puzzles” yang dikumpul di check-point dan dicantum bersama-sama lalu terhasilnya cantuman hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud:
Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada’,tetapi para nabi dan syuhada’ mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t.Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda:”Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan.Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya.Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih.Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih.”
Selain dari itu, pengisian “bedah filem” juga diselitkan untuk menyedarkan peserta akan situasi dan senario masyarakat sekarang. Antara intipati yang boleh diambil dari pengisian ini adalah; sebagai manusia kita seharusnya merasai dengan hati, dan tiap yang berlaku dan perancangan musuh terhadap islam sepatutnya sentiasa kita sedari.
Hari terakhir diisi dengan perkongsian pengenalan tentang Persatuan AMIR (Aspiring Malaysian Rijal) oleh wakilnya, saudara Ihsan Shahrin dan saudara Heerwan Peeie. Perkongsian ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang aktiviti-aktiviti AMIR di Jepun sepanjang tahun dan penerangan tentang Visi dan Misi persatuan AMIR serta objektif kewujudannya. Penutup program dirai dengan makan tengah hari bersama dan acara fotografi beramai-ramai.
Secara keseluruhannya, para peserta berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan dan semoga apa yang diperolehi di “Autumn Gathering 2009” dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Harapan penganjur buat perserta, semoga ukhuwah yang terbina kekal sampai ke akhir hayat dan semoga kita berjumpa lagi di program-program AMIR yang akan datang.
Sekian, astagfirullah…
Wassalam.








Comments
Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!