Feed on
Posts
Comments

Perihal Ukhuwwah

nukilan: ummu zaid

Bila berbicara tentang ukhuwah, ia bukanlah satu tajuk yang hanya cukup ditazkirahkan di dalam usrah atau disampaikan di dalam daurah, tamrin atau rehlah. Ia menuntut sesuatu yang lebih dari itu. Ia tidak cukup dgn hanya memberi tazkirah. Ia sesuatu yang dirasai kemanisannya. Dirindui dan dikenang-kenang bila kehilangannya, dengan niat menghidupkannya kembali, tidak betah seseorang itu begitu hebat bersyarah perihal ukhuwwah, andai dia sendiri belum pernah memberi ‘tiket’ ukhuwwah ataupun menerima ‘tiket’ ukhuwwah itu.


Apa itu ukhuwwah…

“Orang-orang beriman itu Ikhwah (adik beradik), maka baikilah hubungan di antara kamu dan bertaqwalah kepada Allah …” (Al-Quran).

Maka ukhuwwah itu adalah sisterhood.. ..

“Tidak beriman kamu sehingga Allah dan rasulnya lebih disayanginya dari selain kedua-duanya.” (Hadis).

“Tidak beriman kamu sehingga dia menyayangi temannya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri.” (Hadis)

Hassan Al-Banna menterjemahkan ukhuwwah dalam bahasa yang cukup indah dan basah..(hanya ‘basah’ bagi mereka yang betul-betul merasainya sahaja)

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Persaudaraan?

Persaudaraan itu ialah hati-hati dan roh-roh dihubungkan dengan ikatan akidah. Akidah adalah hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah mengutamakan orang lain (itsar)..

“Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hasyr: 9)

Saudara yang jujur akan merasakan saudara-saudaranya lebih utama dari dirinya sendiri keranasaff segala hidupnya bersama mereka. Sedangkan mereka, jika tidak bersamanya akan bersama dengan orang lain. Serigala akan hanya menerkam kambing yang bersendirian. Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain umpama bangunan yang saling kuat memperkuat antara satu sama lain.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain.” (Al-Taubah: 71)

Inilah yang sepatutnya kita lakukan.


Perihal ukhuwwah dalam memoriku…

Ana masih ingat lagi beberapa peristiwa yang membuatkan ana rasa cukup manisnya ukhuwwah. Lebih manis dari indahnya jatuh cinta buat kali pertama…

Pada suatu ketika, dalam satu liqa’, seorang ukhti meluahkan perkara yang telah lama terbuku dihatinya. Terasa berat olehnya sehingga tidak mampu dibendungnya lagi. ‘Meluahkan’ bukanlah sesuatu yang mudah bagi ukhti. Kerana ‘nature’ nya pendiam, pemendam dan kebiasaannya dibibirnya, hanyalah senyuman yang tidak pernah lekang tersulam…
Lalu dia bersuara…

●Ya Ukhti, berat ana ingin lafazkan… Namun ana tak mahu ia terus bersarang di dada, takut ukhuwwah ini lemah kerananya… Iman ini larut dalam bisikan jahatnya..’

□’Emm… Silakan ya Ukhti, ana sedia mendengar… .’

●Yang sebenarnya, waktu di program aritu… Ana amat terasa dengan ukhti…’

□’Astaghfirullahal ‘azim….., bila ya Ukhti? Ana minta maaf.. Ana tak perasan….di mana salah ana ya ukhti?’

●’Masa tu ana memang tak cukup tangan didapur… Rasa tak tertanggung lagi… Ana sendiri tak yakin dapat uruskan makanan untuk 500 orang… Ada barang yang tiada… Ada nasi yang tak cukup masak… Ada adik-adik yang datang kelaparan, belum sempat terjamu lagi… Orang lain di dapur tiada yang tetap..keluar dan masuk…
●’ Masa tu ana memang tak tau nak buat apa… Buat sekadar yang terdaya… Ana memang sangat-sangat harapkan pada enti … Sama-sama uruskan hal-hal dapur… Tapi enti tak putus-putus risaukan adik-adik enti yang di dewan sana… Takut mereka tiada siapa yang follow up.. Kadang-kadang enti hilang ke dewan.. Di saat-saat ana sangat perlukan enti…’

□’ Astaghfirullah. .. Ana memang tak sedar … Ana memang risau betul dengan adik-adik ana… Maafkan ana… Ana lupa orang yang paling hampir dengan ana… Afwan ya ukhti…

●’Masa tu ana memang sedih sangat dengan enti…tapi sebenarnya.. Silap ana juga… Mengapa ana harus mengharapkan kebergantugan pada manusia…sedangkan Allah kan Maha Kuat.. Silap ana juga ya ukhti.. Maafkan ana..

□’Ana yang salah … Maafkan ana… Ana mengejar yang jauh, sedang yang dikendong ini hampir keciciran… ‘

●Ana pun salah juga… Afwan.. Andai terlalu lama menyimpan dalam hati ya Ukhti…’

Tatkala ukhuwwah ini diuji Allah, walau hanya sedikit, dua jiwa atau roh yang tertaut atas jalanNya yang merasa, merana dan terkesan olehnya. Selagi ia tidak diuji, manakan kita tahu sejauh mana kuatnya tautan keduanya. Kebergantungan seorang ukhti kepada seorang ukhti yang lain untuk mengemudi jalan dakwah ini tandanya perpaduan dan tidak mungkin perpaduan akan wujud tanpa kasih sayang seperti yang dinyatakan oleh Hassan Al-Banna.

Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah mengutamakan orang lain.’

Nah, kasihilah akhawat sekalian, sebagaimana antum kasihkan mad’u-mad’u antum…
Lebihkanlah akhawat sekalian, sebagaimana antum lebih-lebihkan masa antum, wang ringgit antum buat yang lain…
Kerana tanpa kasih sayang, lekanglah perpaduan dan ukhuwwah…
Dan paling sedih, sehingga tergadainya dakwah…
Pabila ada akhawat yang seorang demi seorang futur dalam perjuangan menuju Allah ini…

384aca423326193554b0949563908871Pada suatu ketika, setelah tamat program, lalu ana bersalaman dengan seorang ukhti ni.Erat sungguh genggaman tangannya. Hangat dan kemas pelukannya pada tubuh ana…lama ..senyap..tiada sebarang ucapan mahupun suara. Seolah - olah ingin menyampaikan segala yang tersimpan di dalam hatinya. Akhirnya dia berkata..

‘Ya Ukhti, KITA belum mampu kehilangan.. . Walaupun seorang ukhti….’

Berjujuran air mata ana. Begitu tinggi pengharapan ukhti ini pada ana. Ana tahu, bukan pada ana seorang, namun semua akhawat yang hadir ketika itu, pada antunna semua…
Saat ini dakwah KITA masih goyah. Ukhuwwah kita masih lesu.Taat kita masih boleh dipersoalkan. Tadhiyah kita masih minimun.Thiqah kita masih belum sempurna…
Namun ana pasti. Setiap dari kita berusaha untuk yang terbaik. Membentuk diri menjadi individu muslimah yang terbaik…

Continue Reading »

Saya yakin ramai yang mengenali Tok Janggut. Tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu tentang kisah hidupnya? Kewujudan Tok Janggut dan perjuangannya pasti ada kaitan dengan nasib malang yang menimpa umat Islam seluruh dunia ketika itu, iaitu kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924.

Cuba fikirkan, betapa selama ini sejarah kita telah diputar belit oleh zionis kuffar. Mereka berjaya mengalihkan pandangan seorang pelajar sekolah, bahawa perjuangan seorang Tok Janggut adalah kerana mempertahankan kuasa politik tradisional dan membantah cukai semata, sedangkan beliau sebenarnya mempertahankan Al-Haq! Malah mereka telah berjaya melabel dan menanamkan dalam pemikiran kita bahawa Tok Janggut adalah penderhaka dan pemberontak.

Zionis kuffar telah berjaya memanipulasi pemikiran umat islam di nusantara ini (baca: gugusan kepulauan melayu), bahawa tahap tertinggi dicapai bagi seorang Islam adalah apabila ia telah berjaya dan selesai mengerjakan haji ke makkah al-mukarramah. Pemikiran ini telah ditanam dari nenek moyang kita sehinggalah ke generasi hari ini. Walhal sebagai seorang muslim, ia wajib menjalankan tugas khalifah, iaitu memastikan seisi alam ini menyaksikan syahadah yang agung, Laa ilaaha Illallah, Muhammad Rasululullah. Itulah kemuncak ustaziatul ‘alam yang wajib dilaksanakan bagi seorang Islam. Dan Tok Janggut adalah antara figure yang cuba menjalankan kewajipan syahadah ini.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” [Surah Al-Baqarah, 2:30]

Di bawah ini disertakan bahan perkongsian yang dipetik dari laman web raykinzoku yang ditulis oleh Tengku Ahmad Zarir, seorang graduate dari Kinki University, Osaka.

Penulis asal berharap agar lebih ramai orang akan mengenali Tok Janggut bukan kerana gambar jasad beliau diperlakukan oleh Inggeris, tetapi kerana keberanian dan kematangannya dalam berjuang
demi agama dan bangsa.

Tok Janggut …….
atau nama sebenar, Haji Mat Hassan bin Panglima Munas.
Syahid pada hari ini 24 Mei,
dalam perjuangan menentang penjajahan Inggeris,
di Jajahan Pasir Puteh, Kelantan,
93 tahun yang lampau ……
Al Fatihah …..

Dahulu, lebih kurang tiga tahun yang lepas, saya pernah mencatit satu entri khas berkenaan Tok Janggut.

Apa yang asalnya diniatkan sebagai satu catitan kasual, sebagai menyempurnakan hajat seseorang, telah dengan tidak semena-menanya mendapat tumpuan ramai sehingga sendat dengan ratusan komen menyatakan minat. Dalam banyak banyak komen yang saya perhatikan, tidak kurang ada yang menarik, yang menyebabkan saya merenung kembali kisah perjuangan Tok Janggut, contohnya seperti komen ini :

i am an amateur historian. thank you for the write up. your photos will be useful
for those researching on Kelantan and its history. i had the privilege of meeting 2 of Tok Janggut’s grandson. they are proud their grandfather was a shahid. history has downplayed the extent and significance of the fight between tok janggut and the administrators then. it was a jihad of the muslims against the british rule.

Merenung kembali, memang benar sejarah kurang berlaku adil kepada Tok Janggut. Kisah perjuangan Tok Janggut, walaupun kini diabadikan dalam lembaran sejarah tanahair, disanjung dan diajar di sekolah, dirasakan seolah-olah masih atau sengaja dibiarkan tergantung. Tidak keterlaluan jika saya katakan, seolah-olah sama sebagaimana yang diperlakukan oleh Inggeris terhadap jasad Tok Janggut di Padang Bank.

Apa yang saya maksudkan dengan ” tergantung ” di sini adalah bila mana rata-rata sumber utama rujukan sejarah ( authorized sources ), dalam menghuraikan kronologi dan sebab musabbab kepada kebangkitan Tok Janggut, hanya mengutarakan faktor permasalahan cukai dan faktor kehilangan kuasa politik pembesar Melayu tradisional ( feudalisme ) sebagai punca.

Di sini, saya petik beberapa contoh dari huraian Arkib Negara Malaysia dan buku teks sejarah Tingkatan Lima sebagai bukti :

Campurtangan British di Negeri Kelantan pada awal abad keduapuluh telah menyebabkan berlaku beberapa perubahan dasar sistem pentadbiran di negeri tersebut.

Pihak British telah memperkenalkan sistem-sistem cukai yang baru yang bercanggah dengan kebiasaan rakyat tempatan dan telah melantik pegawai-pegawai untuk menggantikan tempat pembesar-pembesar daerah tradisional.

Kewujudan alat-alat pentadbiran dan campurtangan pihak British dalam pentadbiran Negeri Kelantan ini telah menggugat kedudukan pembesar-pembesar daerah serta menimbulkan kemarahan mereka yang selama ini memiliki banyak keistimewaan.

From :
Arkib Negara Malaysia : Hari Ini Dalam Sejarah Online : ” PERANG TOK JANGGUT “

184532791

* Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 ( KBSM ), Dewan Bahasa & Pustaka, Cetakan Keempat 2006, Percetakan Watan Sdn Bhd ( Nota : Perenggan berkaitan di ” highlight ” bagi memudahkan rujukan. )

Sebenarnya, apa yang dinyatakan oleh sumber sumber di atas tidaklah bersalahan dengan apa yang benar benar telah berlaku. Cuma, secara peribadi, menyampaikan kisah Tok Janggut dalam konteks perjuangan membantah cukai dan kehilangan kuasa politik tradisional, bukan sahaja mengabaikan butiran penting lain dalam kronologi kejadian malah dirasakan mampu memberikan implikasi negatif kepada perkembangan minda generasi muda. Seolah-olah menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari kelompok yang kedekut dan taksub dengan feudalisme. Apakah sebenarnya yang ingin dibuktikan melalui huraian sedemikian ?

Sedar atau tidak, dengan pentafsiran sedemikian juga, kita telah berjaya menyempurnakan agenda penjajah Inggeris tanpa mereka sendiri perlu bersusah payah menyempurnakannya. Sejarah membuktikan bahawa penjajah Inggeris sememangnya mahu perjuangan Tok Janggut digambarkan sedemikian, kerana mudah bagi mereka melabel beliau sebagai penjenayah dan pengkhianat ( tidakkah kita selalu diajar, membantah arahan pihak berkuasa adalah satu jenayah ? ) …..

…. dan sejarah juga membuktikan bahawa dengan menonjolkan Tok Janggut sebagai seorang penjenayah dan pengkhianat, mereka telah berjaya mengalihkan perhatian orang Melayu Islam dari memikirkan isu global berkaitan umat Islam yang sedang hangat ketika itu !

Laporan berikut, yang dipetik dari akhbar The New York Times, bertarikh 15 November, 1914, menjelaskan usaha awal Inggeris untuk memastikan orang Melayu terus terserkup di bawah tempurung :

17708716

Source :
The New York Times Online Archive, 15 November 1914 ( PDF format here )

Menurut laporan di atas, pada 14 November 1914, Sultan Kelantan ( Sultan Muhammad IV, 1900 ~ 1920 ), telah mengeluarkan jaminan taat setia kerajaan Kelantan kepada Inggeris ekoran Perang Dunia Pertama di Eropah.

Inggeris pada masa itu, sedang berperang dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang bersekutu dengan Austria-Hungary dan Jerman. Inggeris telah menekan pihak istana untuk mengisytiharkan solidariti bersama - tindakan yang mengecewakan Tok Janggut lantas memilih untuk bangkit sendiri menentang Inggeris …..

Tetapi mengapa Kelantan ? Mengapa Turki Uthmaniyyah !?

Perlu diingatkan bahawa pada masa itu, kerajaan atau empayar Turki Uthmaniyyah dianggap oleh kebanyakan umat Islam di dunia, termasuk juga di Kelantan, sebagai pelindung serta pemimpin ummah. Kebetulan pula di Kelantan, hampir keseluruhan penduduk adalah beragama Islam bermazhab Shafie ( dinyatakan di situ, ” Shaffa Mohammedanism ” ) dan kuasa politik adalah di tangan pemerintah beragama Islam ( walaupun di bawah pengaruh Inggeris ).

Walaupun demikian, itu bukanlah perkara yang paling dirisaukan oleh Inggeris. Inggeris lebih gusar dan khuatir akan hakikat hubungan dan pergantungan Kelantan dengan Timur Tengah dari sudut ideologi dan politik, yang telah berlangsung sejak berkurun lamanya. Ramai rakyat Kelantan berulang alik ke Makkah untuk menuntut ilmu, menunaikan ibadat Haji dan tidak kurang juga ada yang memiliki kepentingan di sana. Tok Janggut berada dalam kelompok ini, seorang terpelajar yang pernah menuntut ilmu dari Pattani hingga ke Makkah. Kebetulan juga, Makkah ketika itu merupakan wilayah Turki Uthmaniyyah, yang pastinya sedang marak dengan propaganda anti-Inggeris ketika Inggeris sedang berperang dengan Turki. Inilah yang dirisaukan oleh Inggeris.

Continue Reading »

Aku melihat wajahku di cermin sekali lagi sambil membetulkan hijabku. Hari ini menjadi sejarah penting dalam hidupku. Hari ini aku berhijab bukan untuk menghadiri majlis kenduri arwah atau majlis bacaan yasin tetapi hari ini, selayaknya sebagai hamba yang lemah aku mentaati perintahNya.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya(auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya,; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nur:31)

Bahtera yang sekian lama kulayari untuk sebuah misi mencari kebenaran jua ketenangan, akhirnya bisaku labuhkan sauhnya. Kegelapan pekat yang menghantui diri ini akhirnya ditembusi sinar keimanan dan ketaqwaan. Betapa selama ini, aku hidup dalam sia-sia tanpa tujuan dan matlamat yang pasti. Aku sibuk sekali mengejar kemewahan duniawi. Rumah besar, kereta mewah, pangkat tinggi, harta bertimbun-timbun namun kesenangan yang melimpah ruah itu tidak bisa memberikanku walau secebis ketenangan. Dan kerana itu, bermulalah kisah pengembaraanku di bumi Yang Maha Esa ini.


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Az-Zariyat:56)

**********************************

“ Silakan cik muda,” kata Pak Hassan sambil membuka pintu kereta.

Tanpa membuang masa aku melangkah masuk. Semua mata yang ada di situ terus tertumpu pada kereta mewah milik papaku, Dato Muhammad Arshad Abdul Jamil.

“ Cepat Pak Hassan,” arahku.

Aku rimas sekali dengan keadaan ini. Semua merasakan betapa aku ini sangatlah bertuah kerana dilahirkan dalam sebuah mahligai indah lengkap dengan segala kemewahan dan kesenangan. Namun mereka tidak mengerti betapa hati ini terseksa, aku menderita gara-gara kemewahan itu. Aku sudah jemu dengan hidupku ini. Sejak kecil tidak pernah satu pun kemahuanku yang tidak dipenuhi. Pada masa itu aku rasa sangat bahagia dikelilingi dengan ‘barbie doll’ yang comel-comel, dipakaikan dengan baju-baju yang cantik. Namun kini, segalanya sudah berubah. Aku bukan lagi budak kecil yang boleh disogokkan dengan ‘barbie doll’ atau baju cantik, yang aku mahukan pada masa ini adalah sebuah ketenangan dalam keluarga yang bahagia.

“ Cik muda, makan malam dah siap,” kata Mak Kiah lembut.

“ Safi nak tunggu mama ngan papa,” balasku.

“Dato dan Datin balik lambat malam ni. Datin pesan jangan tunggu, makan dulu, ”kata Mak Kiah lagi.

“ Dahla, Safi tak de selera dah nak makan. Janji nak makan sekali. Safi tak percaya lagi janji mama,”bentakku.

Dari saat itu, aku benci mahligai itu. Mengikut rasa marah dan geramku, aku keluar untuk mengisi kekosongan hati ini. Bersuka-ria di kelab-kelab malam, berparti sampai ke subuh. Di saat itu, keresahan hatiku bisa kulupakan, namun ia hanya sementara. Setelah tamat keseronokan itu, aku kembali ke dalam dilema yang tak berkesudahan.

“ Dulu, cik muda tak macam ini. Tak balik lewat-lewat malam. Pak Hassan risaukan keselamatan cik muda,”tegur Pak Hassan lembut umpama seorang ayah.

Aku yang sememangnya telah menganggap Pak Hassan seperti ayahku terasa begitu terharu kerana perhatiannya kepadaku. Papa dan mama pun tak pernah bertanya ke mana aku pergi. Pada mereka, aku bahagia dengan segala macam kesenangan ini.

“ Safi mintak maaf sebab dah risaukan Pak Hassan. Safi buntu. Safi tak tau apa yang patut Safi buat sekarang. Hati Safi tak tenang. Papa ngan mama tak pernah nak ada dekat rumah. Kawan ramai pun tak guna jugak. Semua berkawan dengan Safi sebab Safi ni anak orang ternama, tak ikhlas pun,”aku meluahkan perasaan yang terbuku bersama juntaian air mata.

“ Safi tahu ke maksud ikhlas yang sebenarnya?”soal Pak Hassan.

“ Apa maksudnya? Honest….jujur…,” jawabku sambil mengesat air mata.

“ Minggu depan mula cuti semester UM kan?Apa kata Safi pergi bercuti ke kampung Pak Hassan dekat Kedah. Boleh tumpang rumah adik Pak Hassan, Mak Leha dan suaminya Pak Yusuf. Dekat situ nanti, Safi boleh belajar maksud ikhlas,”cadang Pak Hassan.

“ Hmmmm, elok jugak tu. Mungkin boleh terjumpa penawar untuk hati Safi ni dekat sana,”aku menyatakan persetujuanku.

*******************************

Pagi yang tenang lagi permai di negeri Darul Aman itu menyambut ketibaanku. Aku terus menuju ke sebuah bangku yang tersedia di stesen bas. Beberapa minit selepas itu, dua orang wanita berhijab serta berjubah menuju ke arahku.

“ Maaf Cik Safiyyah, ummi terlambat,”ucap wanita yang lebih berumur.

Aku sedikit terkejut. Setelah beberapa saat baru kusedari yang di depanku itu adalah Mak Leha dan anak perempuannya.

Mak Leha yang membahasakan dirinya ‘ummi’ itu membawa aku ke rumahnya. Sebuah rumah kampung yang sederhana besar dihiasi dengan pokok-pokok bunga, pohon-pohon hijau yang merimbun di sekeliling rumah menyajikan satu suasana yang nyaman. Dan bermula saat itu, aku menjadi sebahagian dari keluarga itu.

“ Kak Safi, jom kita solat Maghrib berjemaah. Abi ngan Abang Saiful tengah tunggu kita tu,” ajak Aishah yang sudah siap bertelekung sambil menghulurkan sepasang telekung kepadaku.

Solat. Jarang sekali aku mengerjakan tuntutan Rukun Islam yang kedua itu. Selepas meninggalkan asrama, solatku entah ke mana. Tiba-tiba rasa bersalah mencengkam hatiku.

“Perjalanan hidup kita di muka bumi sangatlah sekejap umpama kita berhenti rehat di plaza tol. Dan selepas itu, kita akan menyambung perjalanan kita untuk ke satu destinasi yang mana kita akan hidup di situ selamanya. Akhirat negeri abadi kita. Dunia hanya tempat persinggahan untuk mengumpul bekalan bagi menyambung perjalanan ke negeri abadi.Namun begitu, dunia ini diserikan dengan pelbagai macam nikmat yang bisa mengalpakan para musafir itu. Ramai yang lupa kepada destinasi yang ingin dituju itu. Terlalu asyik mengaut keindahan dunia hingga lupa siapa Pemilik segala keindahan itu. Mereka menjadi sombong,besar diri dan kufur kepada nikmat-nikmat itu.Ingatlah , kita bukan pemilik mutlak kepada setiap apa yang kita miliki. Allah yang Maha Kuasa boleh megambil balik segala kurniaan itu pada bila-bila masa. Dan kerana itu, kita harus bersyukur kepadaNya dan hanya kepadaNya kita meminta dan bergantung.”

Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah.(At-Taubah:59)

Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan “Sesungguhnya jika kamu bersyukur,nescaya aku akan menambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat.”(Ibrahim:14)

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, agar kamu bersyukur. (An-Nahl:78)

Isi-isi tazkirah selepas solat Maghrib tadi berlegar-legar dalam ruang mindaku. Aku berasa seperti hatiku bagai dipanah petir. Hatiku bergetar mendengar setiap ayat suci dari Tuhan Rabbul Jalil.

Sudah hampir dua minggu aku di Kedah. Dalam masa itu juga banyak yang aku pelajari. Bersama ummi, abi, Aishah dan Abang Saiful membawa aku kembali kepada Tuhan yang satu. Dalam keluarga ini, aku dapat lihat betapa indahnya Islam itu. Tautan kasih sayang sesama mereka begitu erat. Di wajah mereka hanya terpancar senyuman mesra penuh ketenangan.

Pernah suatu malam aku terjaga dari tidur dan hendak ke bilik air. Aku melalui bilik ummi. Pintunya sedikit terbuka dan aku terlihat ummi dan abi sedang sujud penuh khusyuk kepada Sang Pencipta alam ini. Aku terus melangkah. Sampai di bilik Abang Saiful aku terdengar bacaan ayat-ayat suci. Langkahku terhenti. Aku terduduk di situ. Entah mengapa air jernih jatuh berderaian membasahi pipi.

Continue Reading »

Older Posts »