Pada 23 Disember 2011 (Jumaat) yang lalu, telah diadakan program ‘BENGKEL DASAR PANDANG KE TIMUR & MALAM APRESIASI PELAJAR 2011’ bertempat di Dewan Serbaguna, Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo. Majlis ini telah dihadiri seramai kira-kira 70 orang pelajar, termasuk wakil-wakil dari persatuan-persatuan pelajar (KUJ dan MSAJ). AMIR turut menghantar 7 orang wakil pelajar menyertai program ini. Bengkel ini dijalankan bersempena sambutan 30 tahun Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan.
Program bermula kira-kira jam 3 petang seusai sesi pendaftaran dan jamuan tengah hari. Bengkel ini telah dirasmikan oleh Puan Siti Zaharah Omar (Penasihat Pendidikan dan Latihan, Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA). Puan Siti Zaharah telah memberikan sedikit penerangan ringkas tentang Dasar Pandang Ke Timur (DPT) yang telah diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1982.
Kemudian peserta-peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan diberikan beberapa soalan untuk dibincangkan bersama di dalam kumpulan. Soalan-soalan yang diberikan adalah berkaitan dengan isu kompetensi graduan Jepun serta Dasar Pandang ke Timur. Semua peserta begitu aktif dan semangat berbincang sehingga masa yang diberi untuk sesi perbincangan terpaksa ditambah.
Selepas itu, semua kumpulan diberi peluang untuk membentangkan hasil perbincangan masing-masing. Sesi pembentangan begitu meriah dengan pertukaran pandangan dan idea dari peserta-peserta serta pihak kedutaan. Menurut Puan Siti Zaharah, semua pandangan dan cadangan akan dibawa ke perbincangan lanjut dengan pihak atasan.
Kira-kira jam 7 petang, majlis ditamatkan dengan ucapan dari Timbalan Ketua Perwakilan, Kedutaan Besar Malaysia, En Wan Aznaizam Yusri Wan Abdul Rashid serta penyerahan sijil penyertaan kepada semua peserta. Beberapa orang pelajar turut mendapat sijil penghargaan dari pihak kedutaan atas pencapaian cemerlang dalam pengajian masing-masing. Selesai sesi bergambar, peserta disajikan dengan hidangan makan malam, dan majlis bersurai.
Kesimpulannya, bengkel kali ini merupakan usaha yang sangat baik dari pihak Kedutaan Besar Malaysia untuk mendengar pandangan-pandangan dari pelajar. Semangat yang ditonjolkan peserta bengkel kali ini juga, memberikan tanda, pelajar-pelajar Malaysia di Jepun masih tegar memikul aspirasi negara di bawah Dasar Pandang ke Timur serta bersedia memainkan peranan penuh untuk memperkasakan penghayatannya semula di peringkat umum khususnya pelajar-pelajar Malaysia di Jepun.
Diharapkan, program-program perbincangan dua hala begini, dapat diteruskan lagi di masa-masa akan datang.
:: Photo credit to Calvin Ong, final year student from Chiba University. ::






