Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
الْحَمدُ لِلّهِ نَحْمَدُهُ ونَسْتَعِينُهُ ونَسْتَغْفِرُهُ ونُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ
وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا
مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلا هَادِىَ لَهُ
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُه
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ
Imbauan 2011
Melihat 2011 seolah melihat sebuah kehidupan. Mengimbau bagaimana kita melangkah dipermulaan tahun, bangkitnya satu ketumbukan masyarakat menentang rejim yang zalim di Tunis dan Mesir yang kemudiannya diikuti Libya dan kini sedang menjalar hampir diseluruh jazirah Arab. Ini adalah satu sejarah dunia. Bangkitnya golongan-golongan yang kelihatan seolah tiada unsur ‘berpengaruh’ menggerakkan satu perkumpulan gergasi yang tidak tertahan oleh senjata dan kuasa.
Dunia gempar dengan hanyutnya utara Jepun oleh tsunami yang berpunca dari gerakan tektonik 8.9 pada skala rithcer. Bagi yang berada di Jepun terutamanya, merasai salah satu dari sejarah dunia di hadapan mata merupakan pengajaran yang tidak terlupakan. Bahkan, sehingga ketika ini, aksi rantaian bencana masih berlarutan dengan krisis nuklear yang tidak berkesudah. Namun Jepun masih tetap Jepun, untuk tunduk menyerah sesekali tidak. Mereka tetap bangkit mencari jalan hatta disepit payah.
Dada sejarah terus dinukil dengan kematian tokoh-tokoh kenamaan, yang punyai cerita latar yang berbeza. Muammar Gaddhafi, lelaki yang menamakan dirinya sebagai ‘raja segala raja di Afrika’ seolah disungkah dengan aib oleh tangan rakyatnya sendiri. Osama bin Laden, figura yang digambarkan sebagai punca segala isu keganasan global, menemui maut dihujung senjata sofistikated milik Amerika yang diperangi selama 10 tahun. Bagi para penggemar gajet, kematian Steve Job diratapi dengan sepenuh hati. Pemergian beliau membuatkan ramai antara mereka seolah kelihatan hilang punca. Penghujung 2011 pula, paksi komunis Korea Utara meratapi kematian pemimpin mereka yang selama ini dijulang, Kim Joung Il walaupun mereka telah mengalami masa kebuluran yang dahsyat ketika pemerintahan beliau.
Isu Palestin turut menggamit coretan sejarah. Buat pertama kalinya, Mahmoud Abbas membawa sebuah resolusi permohonan untuk diiktiraf dunia sebagai sebuah negara. Langkah yang disambut 1001 reaksi. Tidak semena nama Palestin melonjak, lantas isu kompleksnya menjadi perhatian umum. Negara-negara eropah yang simpati berdiri menyatakan sokongan. Terdapat juga suara kebingungan melihatkan tindakan ini apabila antara kesan yang perlu dihadapi ialah dunia juga akan mengakui sempadan Israel, atau yang lebih tepat lagi sempadan tanah jajahan Israel di bumi Palestin.
Di Eropah, awan mendung melatari cerita mereka. Greece diishtiharkan sebagai sebuah negara bankrap. Sepanyol berhadapan rakyat yang tidak mahu hidup dibelenggu kecekinan. Di Amerika juga, golongan belia merintih berhari-hari dihadapan ‘wall street’ menagih jawapan bagi krisis pengangguran yang melarat. Tidak keterlaluan dikatakan, bahawa gergasi-gergasi ekonomi ini sudah terlempar di kaki lima dunia meraih simpati bagi menangani ‘kemiskinan’ mereka.
Kondisi sekarang
Menjadi pemuda (baca : rijal) di medan sekarang merupakan suatu perihal kritikal. Bukti yang terserlah melalui peristiwa yang berlaku desawarsa ini, menunjukkan kebatilan tidak sama sekali mampu mengukuh dan lambat laun ia akan rebah. Kapitalisma yang ditaja sebagai madu kepada peradaban, sudah menjadi racun yang menjadi kanser kemajuan. Pemerintahan autokratik yang disaran untuk menjamin keselamatan, sudah melebur akibat ketelusan dan keluhuran dalam mentadbir dikesampingkan.
Sekarang ini adalah fasa vakum kepada sebuah peralihan. Seluruh mata dan kepala mencongak-congak apakah yang akan muncul selepas ini. Apakah dunia selepas ini akan beralih kepada suatu gagasan ideologi baru? Apakah akan ada satu fahaman baru yang akan memimpin putaran orbit dunia setelah melihatkan paksi komunisme melemah dan kapitalisme merudum?
Biar apa pun yang muncul seketika nanti, kita adalah rijalnya. Ya, segalanya berbalik kepada kita. Setinggi manapun ideologi dan pemikiran yang akan terbangun kelak, kita adalah pasaknya. Hanya dengan mempunyai tiang seri yang terpacak utuh akan menjamin kebangkitan sebuah kebenaran, dan bukannya tiang seri yang hanya cantik serta indah dilihat mata, namun pangkalnya mereput diratah anai-anai secara senyap.
Cabaran akan datang
Rijal di zaman edan perlu bersedia. Perkara yang penting sekarang adalah bagaimana ‘the right legacy’ boleh dibentuk dan diwarisi. Memetik kata pepatah Afrika, “until the lion has a historian of his own, the tale of the hunt will always glorify the hunter”. Kita perlu mempersiapkan diri agar tidak dimalukan dengan mengulangi sejarah yang mengaibkan.
Mempunyai impian
Berambisi perlu untuk memandu arah. Manusia yang tidak berambisi, umpama perahu hanyut di tengah lautan luas. Ingin diingatkan bahawa bukan imipian liar yang melulu yang dimaksudkan, tetapi punyailah impian yang manfaatnya mampu dicicip oleh khalayak yang ramai. Allah swt mengajar kita untuk berambisi yang tertinggi sepertimana firmannya dalam Al-Baqarah ayat 25;
"Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai"
Memiliki pendirian
Dunia akan menghimpit kita dari segenap arah. Ramai yang akan melaungkan slogan-slogan meraih sokongan. Ramai juga yang beremosi keterlaluan dalam menyediakan hujah. Berhati-hatilah, punyailah pegangan. Usah menjadi lalang, menunduk kemana sahaja mengikut arah angin lalu. Syeikh Muhammad al Ghazali pernah berkata dalam bukunya “Khuluqul Muslim” mengatakan;
“Keyakinan yang kuat dan tumbuh berkembang dengan subur, laksana mata air yang tidak pernah kering sumbernya, yang memberikan dorongan kepada pemiliknya semangat pengabdian, ibadat secara terus-menerus, mampu memikul tanggngjawab dan menanggulangi kesulitan dan bahaya yang dihadapinya.”
Sedar
Menjadi sedar adalah menjadi responsif pada alam sekeliling. Sedar juga menandakan kita hidup. Usah hanyut dan leka dibuai rentak alam. Peka kepada apa yang berlaku disekeliling akan menentukan survivaliti diri. Ketidakpedulian adalah umpama lena didalam kubur yang digali oleh tangan sendiri. Pesanan Imam Al Ghazali ini wajar dijadikan perhatian;
“Sungguh, jalan untuk mengenal Allah dan mengagungkanNya itu adalah dengan cara memikirkan setiap mahlukNya, merenungkan keajaiban-keajaiban dan memahamkan hikmah-hikmah yang terkandung dalam segenap ciptaanNya.”
Melibatkan diriBersifat memencilkan diri merupakan sebuah kerugian. Menyertai tidak semestinya membawa erti mendokong. Ia sekurang-kurangnya memberi peluang kepada diri untuk membuat penilaian dan berfikir. Ini akan membuka ruang untuk membuat pilihan. Supaya tidak terjadi fasa melakukan sesuatu kerana terpaksa dan kerana sudah tidak ada pilihan lain.
Berfikir dengan kritikal
Era informasi telah berakhir. Sekarang adalah era pengetahuan (knowledge era). Cabaran sekarang bukanlah banyak mana yang diketahui, tetapi apa yang difahami daripada informasi yang diperolehi. Banyakkan bertanya kenapa, dan elakkan dalam beremosi dan egois dalam merungkai pemahaman. Bertanya bukan beerti meragui, tetapi ia adalah proses membina yakin dan memberi sebab kepada sesuatu tindakan atau kepercayaan. Usahlah kita menjadi golongan yang dimaksudkan Allah dalam surah Yunus ayat 66;
“Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.”
Sekadar inilah catatan ringkas dari saya untuk difikirkan. Saya juga sama seperti anda, masih pemuda dan masih mencari serta membina. Semoga beroleh manfaat dan mampu diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
Sekian
Semoga sukses dalam melangkah ke era baru 2012!
Kamarul Arifin Bin Mohd Nor,
Presiden,
Aspiring Malaysian Rijal






